Trans New Year (Gunung Yong Yap – Gunung Yong Belar)
Pagi ini beban kerja agak berkurangan. Kegagalan saya untuk membawa turun sub-sub program dari kerangka utama sejak awal minggu lalu menyebabkan kerja terbengkalai. Mungkin terdapat kesilapan pada ID pengguna yang telah diberikan. Namun itu semua bukan salah saya kerana sebelum ini tidak langsung timbul masalah sebegini. Dari tingkat 13 saya turun ke pejabat tingkat 8 untuk memenuhi ruang masa kerja yang kosong.
“Kau pergi ke mana pula lepas nih?” Saya menyoal Saiful Adli yang berada di Tingkat 8.
“Gunung Nuang kot… ari tuuuh pegi Yong Yap tak jadi, diorang naik Gunung Besar Hantu… tapi aku tak pergi.” Jelas Saiful yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti rekreasi mendaki gunung seperti saya.
“Kalau kau nak ikut aku… tahun depanlahh… tahun nih aktiviti dah penuhlahhhh.” Saya menerangkan kepada Saiful. Lagipun tahun 2004 hanya berbaki 10 hari sahaja lagi.
“Eh… hujung migu nih kau nak main futsal tak???” Saiful cuba mengajak saya.
“Minggu nih tak dapatlahhh.”
“Pegi datinglah tuuh.” Hazarani yang berada di hadapan Saiful menjawab pantas. Saya hanya tersengih memandang Hazarani. Cuti saya ke manalah tempat yang hendak di tuju selain masuk ke hutan. Naik gunung. Mandi air terjun. Tidur bawah khemah. ‘Tetapi… bertuah juga kalau ada awek yang nak keluar dengan aku.’
Bermula dari Kuala Lumpur saya mengambil KTM Komuter untuk ke Rawang atas arahan Ngai yang suruh menunggu di sana pada jam 9.00 malam. Ngai pula tiba 2 jam selepas itu. Di sini saya berkenalan dengan 4 orang peserta ekpedisi yang lain iaitu Omar, Abang Ngah, Adik dan Zali. Menjelang tengah malam kami meniggalkan Kuala Lumpur menuju Ipoh.
HARI PERTAMA (25 Disember 2004)
Jam 3.15 pagi kami tiba di Desa Putra Indah, Ipoh rumah seorang rakan lama iaitu Salan setelah berhenti di Hulu Bernam untuk mengambil makan malam. Zali dan Abang Ngah meletakkan kereta mereka di hadapan rumah Salan. Kami meminta bantuan Salan untuk mengambil dua orang lagi peserta ekspedisi di Stesen Keretapi Sg. Siput iaitu Zarina dan Along menggunakan van buruk kepunyaan bapanya. Salan juga turut menghantar kami ke Lasah.
Sunyi 4.15 pagi pekan koboi Lasah pecah seketika oleh enjin van buruk yang Salan pandu. Abang Ngah mengambil kesempatan untuk tidur seketika di bangku panjang yang tersadai di hadapan deretan kedai bertutup rapat. Zali pula membentang tikar plastiknya untuk kami duduk berbual. Salan meniggalkan kami bersama dua orang anak buah yang menemaninya tatkala ayam jantan mula bersahutan di pekan Lasah. Beberapa ketika selepas itu, gema subuh pun berselang-seli dari masjid dan surau berhampiran pekan Lasah.
Setelah mengambil sarapan pagi dan membeli beberapa lagi barang keperluan untuk masuk ke hutan, kami meniggalkan pekan Lasah ketika jam menghampiri 8.30 pagi. Ngai duduk di sebelah Ah Soon, pemandu Toyota Hilux yang kami naik. Ah Soon memandu menuju Pos Kuala Mu.
Di bawah Rancangan Penempatan Semula Legar (RPS Legar), banyak perkampungan Orang Asli di bina sepanjang jalan menuju Pos Kuala Mu. Dari Kg. Komris ke Kg. Temakah, Kg. Jelantik, Kg. Perjek, Kg. Jei, Kg Cheut, Kg. Dawoi dan Kg. Keeb, anak-anak Orang Asli yang berkeliaran sibuk memerhati ke arah kami. Selepas Kg. Keeb perjalanan kami terhenti di sebatang sungai yang mana jambatannya telah runtuh. Ah Soon sendiri yang mengambil alih kontrak pembinaan semula jambatan tersebut. Dari sini kami akan berjalankaki menuju Pos Kuala Mu.
“Kalau jalan pukul 8.00 pagi.. 2.00 petang nanti sampailaaaah.” Kata salah seorang Orang Asli yang turut bekerja di bawah Ah Soon untuk membina semula jambatan runtuh tersebut. Azab.
Kami memulakan langkah ketika jam baru sahaja melepasi 10.00 pagi. Dengan selipar bewarna pink, trek suit hitam dan baju lengan panjag berwarna hitam yang dipakai sejak petang semalam saya turut mengenakan spek mata hitam untuk memulakan langkah Terminator merentas Banjaran Titiwangsa buat kali kedua dengan melalui G. Yong Yap – Bubu – Junction – G. Yong Belar. Dengan kata lain dari Lasah, Perak ke Cameron Highland, Pahang. Azab.
Dari jambatan runtuh ini orang kata memang jauh untuk sampai ke Pos Kuala Mu, iaitu tempat pertama untuk kami bermalam. Dari kata-kata Orang Asli tadi, tentu dapat dikira berapa lama masa yang akan saya ambil untuk manghabiskan jalan balak menuju Pos Kuala Mu. Azab..!
Dalam perjalanan menuju Pos Kuala Mu sekali-sekala kami bertembung dengan Orang Asli yang menaiki motorsikal untuk membawa hasil hutan ke pekan Lasah. Ada juga yang mengankut getah sekerap untuk di jual kepada tauke-tauke Cina di Lasah.
Kami berhenti selama 1 jam untuk mengambil makan tengah hari di atas jalan balak. Saya menghabiskan dua bungkus nasi lemak yang di beli pagi tadi. Di atas kepala pula, matahari masih terik memancarkan cahayanya. Azaab..!
Jam 2.15 petang kami memulakan kembali perjalanan menuju Pos Kuala Mu. Di bawah panas terik, sesekali saya mengerling ke dada langit. Terperasan juga pada awan hitam yang berarak pekat. Omar yang memikul beg One Polar 75L mengadu sakit kaki. Rentaknya makin perlahan dan tidak selesa. Akhirnya saya menukar beg denga Omar sebab beg saya kecil sahaja iaitu 40L. Beban di bahu saya pun bertambah. Azaabb..!
Tidak lama selepas itu hujan pula turun. Omar menukar selipar Jepun yang dipakainya dengan kasut getah. Saya pun mengenakan jungle boot tinggi berwarna hijau di kaki kerana jalan menjadi licin. Azaaabb..!
Hujan berhenti kira-kira jam 4.00 petang. Dalam masa berjalan, tiba-tiba keluar dua orang anak Orang Asli dari celah semak di tepi jalan balak. Di tangannya terdapat sebilah parang yang digunakan untuk menebas. Entah apa yang mereka cari saya pun tak tahu.
“Lapan bukit lagi sampailaaaah.” Kata salah seorang dari mereka. Dalam hati saya berkira. ‘Nak naik sebuah bukit pun seksa... inikan lapan bukit.’ Azaaabb..!
Kini puncak Yong Yap telah tersergam di hadapan mata. Kemuncaknya masih diselimuti kabus. Ini menandakan Pos Kuala Mu semakin hampir. Dalam pada itu lalu pula seorang penunggang motorsikal. Katanya lagi 20 minit sampailah di Kuala Mu. Dalam hati saya masih berkira. ‘20 minit engkau naik motor... aku nih jalan kaki.’ Azaaaabb..!
Abang Ngah, Ngai, Adik dan Zali berjalan jauh di hadapan. Saya berjalan bersama Omar. Zarina dan Along tak jauh di belakang. Selepas itu saya ternampak pula papan tanda kecil di kanan jalan. Kuala Mu 5KM. Azaaaaabb..!
Jam menunjukkan 6.15 petang ketika kami tiba di tepi padang bola berhadapan Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu. Anak-anak muda kaum Orang Asli di sini sibuk berkejaran bermain bola. Akhirnya sampai juga ke tempat yang dituju. ‘A...bis sudah azab untuk hari ini.’
Ngai dan Abang Ngah pergi berjumpa Tok Batin untuk mendapat kebenaran bermalam di sini. Kemudian kami pun turut serta untuk menulis nama di buku catatan yang terdapat pada Tok Batin. Kami mendirikan khemah di tepi tebing sungai yang mengalir jernih merentasi Pos Kuala Mu.
Malam bulan mengambang penuh. Cahaya yang terpancar jatuh terus ke permukaan sungai. Seolah-olah bergerak mengikut arus deras. Walau batu keras yang menghalang, arusnya tetap mengalir laju. Membawa pelbagai perubahan kepada corak kehidupan masyarakat Orang Asli di sini. Namun dalam sebuah dewan di tengah Pos Kuala Mu, aktiviti sewang masih diteruskan. Irama rentak asli muziknya jelas kedengaran dari pinggir khemah.
HARI KEDUA (26 Disember 2004)
Pagi di Kuala Mu cukup tenang. Hijau alam menghiasi suasana. Air sungai mengalir ke hilir. Kicau burung riang membawa irama pagi. Suhu dingin membuatkan saya malas untuk keluar dari sleeping beg.
Ngai telah pun pergi berbicang untuk mendapatkan khidmat jurupandu dengan Orang Asli Pos Kuala Mu. Tetapi rundingan mendapat jalan buntu. Bayaran yang tinggi menyebabkan kami menolak khidmat jurupandu. Keputusan dibuat untuk merentas Banjaran Titiwangsa dari Kuala Mu ke Blue Valley dengan melalui G. Yong Yap dan G. Yong Belar tanpa khidmat jurupandu.
jam 10.00 pagi kami memulakan perjalanan. Destinasi untuk bermalam pada hari ini ialah puncak G. Yong Yap. Selang 10 minit berjalan, tiba-tiba datang sekumpulan pendaki yang turut ingin mendaki ke G. Yong Yap. Mereka baru sahaja sampai di Kuala Mu pagi tadi dengan menaiki Hilux Ah Hee. Katanya jambatan sudah siap. Bermakna jambatan siap petang semalam. Hari semalam kami berjalan di laluan balak bermula 10 pagi hingga 6 petang. ‘Kerja bodoh!’
Bermula dari Kuala Mu laluan terus sahaja mencanak. Azab. Selama hampir dua jam kemudian bertembung lagi dengan jalan balak. Jalan balak terdedah dengan terik mentari. Azab. Jalan balak sekejap menuruni bukit, kejap lagi mencanak pula. Azab.
Habis jalan balak barulah masuk ke laluan hutan apabila tiba di sebuah pondok Orang Asli. Di sini laluannya mendatar dan terlindung sepenuhnya dari matahari. Jam 2.00 petang kami mengambil makan tengah hari di tepi sungai sebelum sampai di sebuah lagi pondok Orang Asli. Sejam kami berehat di sini. Apabila perjalanan disambung. Laluan terus sahaja terpacak mencanak. Azaab..!
Jam 7.00 petang kami sampai di last water point sebelum puncak Yong Yap. Ngai tiba lewat sejam setelah di rescue oleh Abang Ngah dan Adik. Kawasan ini cukup sempit untuk dijadikan tempat tidur bagi lapan orang. Tanahnya pula dipenuhi akar dan langsung tidak rata. Macam mana pun tidur sahajalah. Azaabb..!
HARI KETIGA (27 Disember 2004)
Pagi ini kami bangun awal. Mungkin kerana tempat tidur yang tidak selesa. Malam pula tidur tak lena. Jam 9.30 pagi kami memulakan perjalanan menuju puncak Yong Yap. Laluan yang terpacak bertambah canak. Azab.
Jam 10.45 pagi kami tiba di puncak. Matahari memancar terang di atas kepala. Cuaca sungguh baik. Persada alam terpamer di hadapan mata. Dari sini perjalanan adalah satu tanda tanya. Tiada siapa pun antara kami yang pernah merentas laluan hutan untuk ke G. Yong Belar. Kamilah yang akan menjadi jurupandu. Kami jugalah peserta ekpedisi.
Ngai mengambil kesempatan menelefon seorang rakan iaitu Siti Farishadina yang pernah merentas ke G. Yong Belar dari puncak G. Yong Yap untuk mendapat kepastian tentang laluan yang bakal ditempuhi. Beberapa hari sebelum ekpedisi ini saya juga sempat menghubungi Siti Farishadina untuk mendapatkan log yang tulisnya pada 1997 mengenai Ekpedisi Yong Yap – Yong Belar. Tetapi saya gagal memperolehinya.
Apabila naik dari Kuala Mu... tiba di puncak Yong Yap belok ke kiri, terdapat satu laluan menurun. Ikut laluan tersebut selama 4 hari untuk sampai ke Yong Belar dan keluar melalui Blue Valley di Cameron Highland. Azab!
Kami memulakan perjalanan turun dari puncak G. Yong Yap tepat jam 12.00 tengah hari. Selepas satu jam laluan menuruni gunung, kami tiba di satu permatang yang jalannya landai sahaja. Saya terperasan satu permatang yang terus naik meninggi di hadapan saya. Juga terdapat tanda-tanda seperti laluan denai di hadapan saya. Permulaan denai tersebut seolah-olah terdapat kayu yang sengaja direntag orang. Seperti tanda jalan ditutup. Atas arahan Omar yang berada di belakang saya, kami membelok ke kanan... berterusan menuruni permatang yang sedang kamu lalu ini.
30 minit selepas membelok ke kanan kami tiba di satu kawasan tapak perkhemahan. Kawasannya tidak berapa luas tetapi tanahnya rata. Tidak seorang pun antara kami yang tahu apa nama camp site ini. Ngai mengeluarkan pen berdakwat hitam lalu menulis KEM MALAS pada sebatang pokok kayu kecil. Kami berehat beberapa ketika di sini.
“Aku dengar ada orang kata boleh keluar ke Batu Caves dari sini.” Saya memulakan andaian.
“Aku nak keluar ke Gombak.” Adik pula menyampuk.
“Habis tuuuh... Zarin tuuuh keluar ke Parit Buntar... Along nak keluar kat Seagate.” Ada sahaja yang menambah.
Perjalanan kami memang banyak sekali tanda tanya yang bermain di fikiran. Jurupandu tak ada. Jalan main ikut sahaja... janji boleh lepas. Kalau nasib baik... kami sampailah di Yong Belar. Kalau tidak... tak tahulah ke mana arahnya.
Pukul 3.00 petang kami menuruni satu permatang di mana kiri dan kanannya jelas kelihatan anak sungai yang mengalir jernih. Kedua-dua anak sungai ini kemudiannya bertembung di satu kuala yang kecil. Dan di tepi kuala ini terdapat satu tapak perkhemahan yang kecil. Terdapat juga sepasang kasut yang di tinggalkan orang. Hampir sejam juga kami berehat di sini.
Hari masih terang. Jam baru mancecah angka 5.00 petang. Perjalanan diteruskan menuruni permatang bukit yang menyusuri tebing sungai dan menghala ke hilir. Hati saya masih tertanya-tanya. Ke manakah destinasi kami? Menurut penerangan dari Siti Farishadina, selepas puncak Yong Yap dia bermalam di Kem Berak yang terletak bersebelahan sebatang sungai. Kami semua tak tahu yang mana satu Kem Berak. Tetapi rasa nak terberak memang sejak semalam lagi.
Jam 6.00 petang kami tiba di satu lagi tapak perkhemahan di tepi sungai yang kami susuri. Saya lihat kawasan ini masih baru ditinggalkan orang. Pelepah pisang yang dipotong untuk dijadikan alas tidur masih lagi hijau dan belum kering. Tali rapia yang dijadikan ampaian masih teguh ikatannya. Kami mengambil keputusan untuk bermalam di sini.
HARI KEEMPAT (28 Disember 2004)
Dengan mengambil ilham semasa Ekpedisi Liang Timur-Barat dua minggu lepas, saya menamakan tapak perkhemahan malam tadi KEM GIANT. Selepas mengambil sarapan bubur nasi, kami memulakan perjalanan pada pukul 10.00 pagi.
Hari ini laluan masih lagi seperti semalam. Perjalanan adalah menuruni permatang bukit yang menyusuri sebatang sungai. Tak sampai sejam selepas memulakan perjalanan, kami tiba di atas satu jalan balak yang sangat lama di tinggalkan. Jalannya sudah pun menyerupai hutan. Sesiapa yang tidak biasa dengan keadaan hutan memang tidak dapat mengecam bahawa ini adalah jalan balak buat suatu masa dahulu. Permulaan jalan ini dipenuhi denga resam dan juga orkid hutan bewarna unggu.
Hati masih lagi tertanya-tanya kemanakah perjalanan ini? Untuk ke Yong Belar haruslah melalui puncak Junction. Untuk sampai ke sana, jalan semestinya terpacak dan mencanak. Haruslah terasa azab! Tetapi sejak dari puncak Yong Yap semalam... jalan sentiasa turun melandai. Hilang segala azab! Masing-masing treking dengan nada yang sungguh riang ria. Laluan mendaki amat sedikit. Kalau ada pun... tidak langsung terpacak mencanak.
Pukul 12.30 tengah hari kami tiba lagi di satu tapak perkhemahan setelah manuruni satu bukit yang amat curam. Namun perjalanan diteruskan lagi sehinggalah kami bertembung dengan runtuhan buluh akibat sebatang balak yang sudah lama tumbang. Saya menyusup di bawah buluh tersebut. Manakala Abang Ngah berusaha menebas jalan lain untuk mengelak dari buluh tersebut. Yang lain turut mengikut jejak langkah Abang Ngah.
Jam 2.30 petang kami berhenti untuk makan tengah hari. Along memasak beberapa bungkus megi untuk mengalas perut. Di tempat kami berhenti jelas kelihatan bekas buluh yang dibakar sebagai kayu api. Mungkin laluan yang kami guna ini adalah jalan Orang Asli pergi memburu. Mereka juga mungkin berhenti di sini untuk memasak atau barmalam.
Selepas makan perjalanan di sambung semula. Tepat jam 3.35 petang saya yang berada di hadapan sekali ketawa terbahak-bahak. Sungguh kuat saya gelak seorang diri. Ngai yang berada di belakang sekali pun jadi hairan. Sedikit pertanyaan telah terjawab. Kah...kah...kah...
HARI KELIMA (29 Disember 2004)
Sungai Rengil tetap setia membawa aliran air jernih dari hulu ke hilirnya. Anak-anak Sg. Rengil yang terletak dalam Banjaran Titiwangsa berhampiran G. Yong Yap tidak putus-putus memberi sumber air. Di bahagian hilir pula, Sg. Rengil bertembung dengan Sg. Brooke. Pertembungan sungai ini sekali lagi membetuk kawasan kuala. Sg. Rengil mati akibat bertembung dengan Sg. Brooke. Dan kuala ini dinamakan Kuala Rengil.
Di sinilah tempat tinggal Ranjis bersama keluarga mertuanya Tapa. Ranjis salah seorang masyarakat Orang Asli di sini. Hari ini Ranjis tidak ke hutan mengerat buluh atau anak kayu untuk dijual kepada tauke Cina. Ranjis juga tidak ke bukit mencabut ubi kayu. Ranjis juga tidak ke kebun membersihkan tanah. Ranjis juga tidak ke sungai menangkap ikan. Hari ini Ranjis akan membantu kami untuk keluar dari Pos Kuala Rengil.
Berdiri menghadap ke kuala dari arah jalan masuk ke Yong Yap... di kiri saya ialah Sg. Rengil dan di kanan saya ialah Sg. Brooke. Petang semalam kami mendirikan khemah di atas tanah lapang tepi Sg. Brooke. Kami sampai di sini tepat jam 6.30 petang dan terus berkenalan dengan Ranjis. Ranjis nampak senang untuk membantu kami.
Petang semalam saya terbaca papan tanda Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan. Saya ketawa terbahak-bahak kerana perancangan kami telah lari. Hajat hendak keluar di Blue Valley, Cameron Highland tetapi kami telah keluar di Hutan Simpan Kekal Lojing, Jajahan Kelantan Selatan, Kompartmen 33 Gua Musang. Dari pintu masuk ke HSK Lojing semalam, kami mengambil masa 3 jam di atas jalan balak untuk sampai ke Pos Kuala Rengil. Azab.
Beginilah nasib masuk hutan tanpa jurupandu. Apa yang telah kami lakukan ialah TRANS LASAH – YONG YAP – LOJING... dengan masuk melalui Pos Kuala Mu dan keluar melalui Pos Kuala Rengil.
Pagi ini cuaca kelihatan mendung. Mungkin kerana sejak tiga hari lepas ekspedisi kami tidak langsung di timpa hujan. Atau memberkati perjalanan kami di atas jalan balak pada hari ini. Jam 10.00 pagi kami bergerak meniggalkan Pos Kuala Rengil menuju Pos Brooke yang terletak di tepi jalan raya baru yang menghubungkan Gua Musang dan Cameron Highland.
“Aku tak tahu pun ada jalan lain nak ke Yong Yap nih...” saya bercerita dengan Ngai semasa berjalan.
“Ada... ikut Gua Musang... masuk ikut sinilah.” Jawab Ngai.
“Kalau aku tahu... aku redah jekkk jalan yang tutup ari tuuh. Tapi Omar suruh turun ke bawah... last-last sampai sini.” Balas saya.
Hajat untuk bermalam di Kem Berak dan Kem Pening seperti yang diceritakan oleh Siti Farishadina tidak kesampaian. Sejak turun dari puncak Yong Yap, ekpedisi kali ini terlepas dari azab. Perjalanan menuruni permatang bukit cukup terasa santai. ‘Takperlahhh... lain kali boleh buat lagi.’ Bisik hati kecil saya.
Ramai orang yang mendaki G. Yong Yap masuk ikut Lasah, Perak. Jarang sekali yang masuk ikut Gua Musang, Kelantan. Sebab ikut cakap Omar, secara tak langsung saya telah merasa cabaran kedua-dua trek ini. Memang seronok turun ke Gua Musang kerana jalannya santai.
Dalam perjalanan menuju Pos Brooke, Ranjis singgah di rumah seorang rakannya. Ranjis meminjam motor rakannya dan membawa Ngai keluar ke Sekolah Kebangsaan Pos Brooke untuk mendapatkan kenderaan pacuan 4 roda. Kami yang lain pula tiba kira-kira jam 11.15 pagi. Tetapi di sini pada musim cuti sekolah memang tidak banyak kenderaan. Kemudian Abang Ngah menumpang motor Ranjis untuk ke Jabatan Pertanian Lojing.
Abang Ngah kembali bersama Pakcik Ramli seorang pemandu di Jabatan Pertanian Lojing. Pakcik Ramli membawa Toyota Hilux 2.8d milik jabatan. Tepat jam 12.00 tengah hari kami meniggalkan Pos Brooke setelah membayar upah yang berpatutan kepada Ranjis.
Perjalanan mengambil masa hampir sejam dengan kenderaan menuju ke Kg. Raja, Cameron Highland. Di Kg. Raja masing-masing membeli lagi sedikit keperluan untuk naik gunung. Tidak seorang pun yang tergerak hati untuk pulang ke Kuala Lumpur. Bagitu juga Zarina dan Along yang tinggal di Parit Buntar. Masing-masing hendak ke hutan... mana lagi kalau tidak G. Yong Belar.
Di Kg. Raja juga kami dikejutkan dengan berita beberapa negeri di Malaysia dilanda ombak Tsunami setinggi 6 meter. Ramai orang mati dan kemusnahan harta benda turut berlaku. Ini merupakan bencana terbaru bagi Malaysia.
Pakcik Ramli turut menghantar kami ke empangan di Blue Valley, yang menjadi jalan masuk ke Gunung Yong Belar. Setelah membayar upah yang berpatutan, kami mengucapkan terima kasih kepada Pakcik Ramli yang sudi melayan karenah orang gunung seperti kami.
Ini kali kedua saya akan ke G. Yong Belar. Begitu juga dengan Ngai. Omar dah masuk sembilan kali. Along dulu terkandas di Kem Gurkha... tak sampai puncak. Yang lain inilah pertama kali akan ke G. Yong Belar. Pukul 2.00 petang bermulalah pendakian kami ke G. Yong Belar dengan menaiki 256 anak tangga yang terdapat di tepi empangan. Azab.
Untuk sampai ke Kem Gurkha pada petang ini adalah satu yang mustahil. Oleh itu kami membawa bekalan air yang mencukupi dan kami akan bermalam di mana-mana kawasan yang sesuai.
Jam 5.15 petang kami sampai di batu sempadan Pahang-Kelantan yang bernombor 81. Di sini batunya lebih basar dari yang lain kerana tanahnya merupakan puncak tinggi. Menurut Omar, ketinggian di sini ialah 6040 kaki dari aras laut. Kami bermalam di sini kerana tanah lapangnya yang luas. Lagi pun hujan renyai sudah mula turun dan suhu sangat sejuk.
HARI KEENAM (30 Disember 2004)
Berita dari Radio 1 RTM jelas kendengaran di puncak 6040 kaki melalui radio kecil yang Ngai bawa. Sebelum ini tak siapa yang tegerak hati hendak membuka radio buruk tersebut. Bencana Tsunami berpunca dari gegaran gempa bumi di Acheh di dengar dengan teliti. Begitu juga berita kejayaan skuad bola sepak Malaysia menundukkan Indonesia di Stadium Jakarta dalam kejohanan terbesar bola sepak Asia Tenggara.
Kami memulakan perjalanan tepat pukul 10.00 pagi dengan harapan dapat bermalam di puncak Yong Belar. Perjalanan turun dan naik permatang menuju ke puncak Yong Belar menjadi semakin mencabar kerana cuaca sejuk dan angin kencang. Sesekali angin bertiup membawa hujan yang menitik sejuk sehingga ke tulang sum-sum. Azab.
Kami tiba di puncak sempadan 3 negeri pada pukul 11.30 pagi. Setelah berehat dan mengambil gambar, perjalanan diteruskan lagi. Tiba di puncak Charli Pondok sekali lagi kami berhenti rehat untuk makan tengah hari. Kemudian perjalanan di teruskan menuju Kem Gurkha untuk mengambil air.
Ketika jam menghampiri pukul 4.00 petang, kami bergerak meniggalkan Kem Gurkha. Saya berjalan paling hadapan sekali bersama Along. Ketika senja hendak melabuhkan tirainya, Abang Ngah yang berjalan paling belakang sekali tiba-tiba bergerak laju lalu memotong saya dan Along.
Pukul 8.00 malam saya dan Along tiba di puncak anak Yong Belar. Abang Ngah kelihatan sudah siap sedia memasang fly sheet. Nampaknya hajat untuk bermalam di puncak Yong Belar tidak kesampaian walaupun jaraknya hanya tinggal beberapa minit perjalanan sahaja lagi. Abang Ngah sudah kepewaian dan hendak bermalam di sini.
HARI KETUJUH (31 Disember 2004)
Hari terakhir dalam tahun 2004. Angin Monsun Timur Laut masih lagi bertiup kencang. Setelah mendatangkan banjir di Pantai Timur, kini pergerakannya menghempas Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Sejuk pagi yang mencengkam menyebabkan saya lambat untuk keluar dari sleeping bag. Walaupun hujan yang menitis tidaklah lebat, tetapi cuaca sungguh sejuk.
Cuaca sejuk jugalah yang membawa kabus menyelimuti kemuncak gunung. Menghadkan pemandangan mata kasar.
Hari ini kami memulakan perjalanan agak lewat. Jam 11.30 pagi barulah kami bergerak menuju ke puncak Yong Belar. Tiba di puncak, hanya kabus gunung sahaja yang dapat dilihat. Sambil angin kencang bertindak menurunkan suhu di puncak gunung. Setelah puas bergambar kami menuruni puncak Yong Belar menuju ke Kem Tudung Periuk. Hujan renyai yang kadang kalanya berhenti, menyimbahi kami sepanjang perjalanan ke Kem Tudung Periuk.
Pukul 3.30 petang kami sampai di Kem Tudung Periuk. Adik yang dibantu oleh Zali, Zarina dan Along memasak megi untuk makan tengah hari. Setelah selesai makan kami meneruskan perjalanan menuju empangan di Blue Valley.
Hujan membasahi bumi, kadang kala berhenti... Jika hujan berhenti sekalipun, angin tetap bertiup kencang menghempas tepat ke pohon-pohon hutan yang merimbun. Lalu mengugurkan air yang bertakung di daunan pokok. Sejuk tetap mencengkam apabila airnya menitik di dahi. Azab.
Jam 7.00 petang akhirnya kami sampai di empangan Blue Valley. Terus berjalan kaki menuju ke Kg. Raja. Setelah lebih dua jam berjalan kaki, kami pun tiba di Kg. Raja dan mengambil makan malam di kedai yang berhampiran. Setelah makan malam, kami tumpang bermalam di surau Kg. Raja.
1 January 2005.
Setiap saat masa bergerak. Dalam tahun yang silih berganti. Masanya tetap lalu begitu sahaja. Semalam kami ada berselisih dengan empat orang pendaki lain di Kem Tudung Periuk. Mereka hendak bermalam di situ sebelum naik ke puncak Yong Belar.
“Bas ke Ipoh pukul 11.20 pagi.” Kata Abang Ngah yang keluar awal pagi tadi pergi membeli tiket bas dan juga surat khabar. Harga surat khabar pun dah naik. Kos hidup makin hari makin tinggi.
Bas ekpress dari Tanah Rata berhenti seketika di Kg. Raja untuk mengambil kami berlapan. Beberapa penumpang lain turut naik di Kg. Raja. Masing-masing mengambil peluang cuti tahun baru untuk keluar ke bandar Ipoh. Di Kg. Raja bas membelok ke kanan. Setelah 3 km meniggalkan Kg. Raja, ia membelok ke kiri pula menuju Simpang Pulai sebelum sampai di Ipoh. Tidak lama selepas itu aku terlelap di dalam bas.
Sampai di Ipoh, Abang Ngah dan Zali pergi mengmbil kereta mereka di rumah Salan. Duit program banyak juga yang lebih sebab tidak perlu membayar khidmat jurupandu. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami berehat di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh. Pizza Hut yang di bungkus di Jusco tadi kami habiskan di sini.
Jam 5.30 petang kami meninggalkan Bandaraya Ipoh. Saya, Adik dan Omar menaiki kereta Zali. Zarina dan Along akan pulang ke Parit Buntar menaiki bas. Ngai juga pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas. Abang Ngah akan memandu pulang ke Kuala Lipis.
Thanks For KabusGunung for ur Report